Monday, 19 May 2014

Ada apa dengan BANGSA?

Salam Sejahtera Salam Perpaduan

Blog ini saya rasa dah lebih kurang hampir dua tahun bersawang tanpa catatan. Idea untuk penulisan banyak tapi sifat kemalasan dan kesuntukkan masa kerap kali membatalkan hasrat untuk menulis. Pada kali ini, penulis menggagahkan diri untuk menulis kerana penulis merasakan bahawa idea-idea ataupun pendapat penulis perlu diluahkan supaya boleh dibincangkan secara ilmiah oleh sahabat-sahabat yang membacanya.

Saya memilih tajuk "Ada apa dengan BANGSA?" memandangkan sejak kebelakangan ini, ramai 'perjuang' bangsa ini gah berbicara mengenai survival dan kebangkitan bangsa masing-masing. Sebelum saya lontarkan pendapat saya mari kita kaji sedikit sejarah makna bangsa itu sendiri.

Mengikut Kamus Pelajar Bahasa Malaysia, Cetakan Kesembilan 1993, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kaum bermaksud golongan orang sebagai sebahagian daripada satu bangsa yang besar; suku bangsa. Kaum juga boleh ditakrifkan sebagai perkataan lain bagi bangsa.

Kaum atau erti kata lain bangsa merujuk sesebuah kelompok manusia yang mempunya kesamaan dari segi budaya dan cara hidup. Bangsa merupakan satu status yang diberikan mengikut nasab keturunan dan seseorang itu tiada pilihan selain pilihan yang telah ditentukan olehNya. Jika seseorang dilahirkan sebagai seorang bangsa afrika, maka secara hakikinya individu tersebut adalah bangsa afrika walaupun melakukan pelbagai perubahan fizikal dan fakta nasab keturunan tersebut tidak boleh dipinda.

BANGSA, bolehkah aku memilih?

Seseorang tidak boleh memilih mahupun dipilih oleh mana-mana individu untuk menjadi bangsa. Saya yang dilahirkan sebagai seorang bangsa cina tidak boleh mengubah apa-apa fakta mengenai nasab keturunan saya kerana itulah anugerah Ilahi tanpa manusia sedari.

Sebagaimana seorang yang dilahirkan cacat fizikal, individu tersebut tiada hak untuk memilih tetapi nescaya setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya. Jadi kita kembali membincangkan apa sebenarnya yang harus diperjuangkan atas nama BANGSA?

ada apa dengan BANGSA?

Perlukah kita berpegang kukuh kepada sesebuah pendirian bangsa kita sendiri dan menghukum bangsa lain. Kita pandai nak berbicara mengenai ketidaksopanan kita mencaci mahupun menghina seseorang yang dilahirkan mungkin mempunyai keistimewaan, tetapi kita tidak pandai berbicara mengenai keburukan kita sendiri dalam menghukum seseorang yang berlainan bangsa. Ini hakikatnya, kita jelas menghukum seseorang yang tidak pernah mempunyai hak untuk memilih bangsa. Adakah kerana kita lahir didalam sebuah bangsa yang kita sendiri rasakan kita hebat maka betul hebatkah kita?

Adakah ajaran agama Islam sendri mengajar umat manusia untuk bersatu padu dan menerima sesama umat seadanya malah kita sendiri digalakkan untuk mengenali sesama kita. Ini jelas di dalam surah Al-Hujurat ayat yang ke 13:

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki & seorang perempuan & menjadikan kamu berbangsa-bangsa & bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yg paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yg paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Ayat ini jelas menidakkan pegangan manusia yang menggunakan alasan berpuak-puak ini dan menidakkan hak sesuatu kaum untuk merasakan bahawa kaumnya lebih baik mahupun lebih bagus berbanding bangsa lain malah kita disarankan oleh Allah SWT untuk bersatu dan mengenali sesama masing-masing tanpa menghukum atau mencaci malah mencela mana-mana kaum lain. Penulis sendiri merasakan bahawa cara inilah yang terbaik dan patut dipraktikkan oleh seorang muslim bagi tujuan yang murni iaitu dakwah. Jadi penulis ingin tanyakan, adakah dengan menghukum bangsa lain kita memudahkan kerja dakwah kita

Dalam nukilan lain, penulis akan menerangkan dengan lebih lanjut. Sampai sini sahaja dahulu, terima kasih kerana memberikan masa anda untuk membaca.

Darren Lai